Wednesday 2 January 2013

DAKWAH LAPANGAN




JELAJAH MALAM TAHUN BARU



Alhamdulillah, pada 31 Disember 2012, GAMIS Kelantan telah melaksanakan satu program dakwah lapangan sempena menyambut tahun baru 2013. Program ‘Jelajah Malam Tahun Baru’ ini Berjaya mengumpul seramai 187 orang mahasiswa pada awalnya, namun bilangannya bertambah semasa pendaftaran dilakukan. Antara wakil yang terlibat ialah dari Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian, Kolej Islam Antarabangsa Sultan Mohamad Faris Petra, Universiti Malaya Nilam Puri, Universiti Malaysia Kelantan, serta Politeknik Kota Bharu.
            Program bermula dengan pendaftaran pada pukul 6.00 petang dimana semua mahasiswa diminta untuk berkumpul di surau yang bertempat di Balai Islam, Lundang. Walaupun dalam keadaan hujan yang lebat, namun sedikit pun tidak menjejaskan semangat juang anak-anak muda ini untuk turut terlibat bagi menjayakan program dakwah lapangan ini malah mahasiswa/wi yang hadir lebih ramai dari yang dijangkakan menyebabkan pembahagian kumpulan terpaksa dilakukan sekali lagi.

            Selepas solat maghrib, program diteruskan lagi dengan ucapan alu-aluan daripada pengarah program, Ustaz Azree b Hj Mohd Ashaari dan diteruskan dengan ucapan dari presiden GAMIS Kelantan serta taklimat pembahagian kumpulan oleh Ustaz Mohamad Sabri bin Mohamed Husin. Antara tempat yang telah dirancang ialah di sekitar Lapangan Terbang di Pengkalan Chepa, tengah Bandar Kota Bharu, stadium utama, tesco, Jam besar, sekitar Masjid Muhammadi, sekitar Hayaki, Jalan Hamzah, Limau Manis, Berek 12, Wakaf Che Yeh, dan Pantai Cahaya Bulan.

            Selepas solat Isya’, semua peserta dikumpulkan mengikut kumpulan masing-masing untuk diterangkan serba sedikit mengenai  persiapan sebelum ke tapak dakwah lapangan masing-masing. Dalam kumpulan ini, peserta diterangkan mengenai keselamatan semasa berada di lokasi dakwah yang disampaikan oleh ketua kumpulan masing-masing.Mahasiswa/wi diberikan beberapa keping risalah untuk diedarkan kepada masyarakat umum. Dalam pukul 9.15 malam, semua peserta bergerak ke tempat sasaran dengan kenderaan masing-masing .

            Program berakhir dimana semua peserta berkumpul di medan usahawan yang bersebelahan dengan stadium utama di Kota Bharu. Mahasiswa/wi bersurai selepas sesi bergambar beramai-ramai dengan laungan ‘student power!’ diiringi dengan laungan ‘takbir!’.






No comments:

Post a Comment