Thursday 20 September 2012

Isu penghinaan Nabi , dari sisi Mahasiswa


Mencabar sentiviti agama akan mengundang polemik. Isu menghina agama Islam khususnya Nabi Muhammad SAW bukanlah perkara baharu. Isu ini telah lama berlaku. Ia muncul dan diakhiri dengan bantahan.

Begitu cantik arahan Allah yang melarang umat Islam menghina agama lain, hikmahnya supaya orang bukan Islam tidak menghina agama Islam. Seperti firman Allah:


“ Dan janganlah kamu memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, karena mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan. Demikianlah Kami jadikan setiap umat menganggap baik pekerjaan mereka. Kemudian kepada Tuhan merekalah kembali mereka, lalu Dia memberitakan kepada mereka apa yang dahulu mereka kerjakan” (Al-An'am: 108)

Perbuatan menghina agama lain adalah tindakan biadap dan tidak bertamadun. Walaupun barat gah dengan peradaban mereka, hakikatnya mereka tidak mahu akur dengan kemuliaan Nabi Muhammad SAW. Sedangkan, seorang tokoh barat Michael H. Hart secara telusnya meletakkan Nabi Muhammad SAW pada kedudukan pertama sebagai manusia paling berpengaruh di dalam buku beliau The 100: A Ranking pf the Most Influential Person in History.

Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS) selaku gerakan mahasiswa Islam di Malaysia memandang isu ini dalam pelbagai sudut:

1-  Isu ini muncul kerana salah faham  golongan barat terhadap peribadi sebenar Nabi Muhammad SAW

2- Isu ini ditimbul sebagai provokasi dari barat supaya umat islam bertindak luar kawalan, seterusnya akan mencemarkan nama baik Islam, seperti contoh membunuh warga barat, membakar bangunan kedutaan dn sebagainya.

3- Isu ini juga mampu menyatukan hubungan antara dua pihak yang bertentangan dari sudut fahaman agama mahupun ideologi politik kerana mempertahankan agama lain dari dihina adalah isu sejagat.





Perkembangan yang sangat menarik di Malysia apabila dua parti terbesar iaitu PAS dan UMNO mungkin akan bersama dalam satu demonstrasi bantahan terhadap filem kontroversi yang menghina nabi Muhammad iaitu Innocence of Muslims pada 21 September 2012.




Pihak Gamis mencadangkan penyelesaian:

1- Selain bantahan, sewajarnya umat Islam memberi kesedaran dan penjelasan sebenar peribadi nabi Muhammad dalam bentuk filem dengan pelbagai versi bahasa. Pihak parti politik seharusnya menggunakan bakat lakonan artis-artis yang sudah terlibat dengan parti mereka. Bagi PAS dan UMNO ia bukan perkara mustahil kerana PAS mempunyai Hairie Othman, Abby Abadi, Adam Hamid dan lain-lain. Manakala pihak UMNO pula Rozaidi Abdul Jamil (Zed Zaidi), Aflin Shauki Aksan dan lain-lain.

2- Golongan cerdik pandai dari kalangan ahli akademik, NGO, ahli politik mahupun mahasiswa perlu menggerakkan dialog peradaban antara agama. Dialog ini sangat penting bagi merungkai salah faham antara agama di samping itu, ia mampu mengeratkan lagi hubungan antara agama.

GAMIS secara konsisten membantah segala bentuk penghinaan yang dilakukan terhadap mana-mana agama. Dalam masa yang sama pihak GAMIS menyeru kepada umat Islam agar bertindak dengan penuh adab dan akhlak islam dalam menyatakan bantahan penghinaan terhadap nabi Muhammad SAW.

Thursday 13 September 2012

Himpunan Merdeka Kampus , DATARAN MERDEKA


Gabungan kumpulan mahasiswa kali ini telah membuat satu keputusan untuk mengadakan satu himpunan di ibu kota bagi menyuarakan apakah tuntutan sebenar mahasiswa hari ini. Keputusan ini dibuat setelah mempertimbang beberapa isu utama mahasiswa sebelum ini seperti yang pernah didedahkan Pro Mahasiswa mengenai manipulasi parti pemerintah sekarang terhadap tarikh pilihan raya kampus.

Dokumen dengan nama OPS 2020 yang didedahkan di Parlimen semasa perbahasan bajet tambahan sebelum ini, juga secara jelas menunjukkan bahawa kerajaan sedia ada gerun dengan gelombang kebangkitan mahasiswa sejak akhir-akhir ini. Sehingga kerajaan terpaksa membuat keputusan menangguhkan pilihan raya kampus kepada suatu tarikh yang tidak diketahui dan mestilah selepas tarikh pilihan raya umum. Sepatutnya pilihan raya kampus berlangsung sekitar Mac atau paling lewat April yang lalu setelah pembubaran Majlis Perwakilan pada Februari.

Namun, seperti pendedahan terbaru, pilihan raya kampus telah dianjak kepada Septemberini dan kebanyakan kampus melaksanakannya secara serentak pada 20 dan 25 September kerana mahasiswa yakin bahawa kerajaan gerun dengan pendedahan yang dibuat maka pilihan raya kampus terpaksa juga dibuat sebelum pilihan raya umum bagi menampakkan apa yang didedahkan oleh mahasiswa adalah tidak benar.

Pun begitu, kami mahasiswa tidak hanya memandang kepada isu tarikh pilihan raya kampus bagi sesi kali ini yang sememangnya penuh dengan manipulasi tambah pula campurtangan parti pemerintah, bahkan tuntutan mahasiswa terhadap pilihan raya kampus yang telus dan berintergriti mesti ditunaikan. Mahasiswa tegas dengan pendirian bahawa universiti mestilah diberikan autonomi yang sebenar dan menolak campurtangan daripada pihak kerajaan sepenuhnya, sehingga mengabaikan hak mahasiswa sedangkan universiti dalam masa yang sama dipimpin oleh ahli-ahli akademik yang seharusnya bebas daripada pengaruh politik luar.

Pada kali ini, mahasiswa bertegas dengan enam tuntutan terhadap agenda pilihan raya kampus. Bermula daripada penetapan tarikh pilihan raya kampus bagi setiap sesipenglibatan mahasiswa dalam jawatankuasa suruhanjaya pilihan raya kampusbadan bebas sebagai pemantau pilihan raya kampus,reformasi sistem pengundian supaya lebih telus, kebebasan berkempentermasuk tempoh kempen dan tuntutan ke enam termasuklah penyediaan dana universiti kepada calon yang bertanding secara adil dan sama rata.

Justeru, gabungan mahasiswa kali ini menyeru untuk seluruh mahasiswa dan mana-mana badan atau pertubuhan bahkan seluruh rakyat Malaysia yang cakna dengan isu pilihan raya kampus ini turut hadir ke Himpunan Merdeka Kampus pada 16 September di Dataran Merdeka pada jam 2 petang. Kami akan suarakan enam tuntutan mahasiswa terhadap pilihan raya kampus kali ini memandangkan tarikh pilihan raya kampus dan pilihan raya umum semakin hampir.

Muhammad Safwan Anang Talib
Pengerusi, Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM)
Timbalan Presiden, Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS)

Turut disokong oleh
Malaysia Youth And Students Democratic Movement (DEMA)
PRO Mahasiswa Nasional (Gabungan seluruh Pro Mahasiswa)

Saturday 8 September 2012

Ucapan tahniah kepada pelajar cemerlang KIAS 2012



Assalamualaikum w.b.t
Kami dari SINERGI GERAKAN MAHASISWI (SIGMA) GAMIS Kelantan mengucapkan tahniah kepada al-Ukht Juniza Jumaat merupakan mahasiswi Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra KIAS yang telah mendapat anugerah pelajar cemerlang pertama di KIAS 2012. Kami dimakklumkan, al-Ukht Juniza juga seorang aktif dalam penglibatan persatuan disamping akademiknya yang cemerlang. Kami tertarik dengan nasihat & harapannya kpd mahasiswa/wi Islam dan generasi seterusnya ." Jagalah hubungan kita dengan Allah & manusia serta carilah ketenangan dgn mentadabbur al-Quran. Ilmu bukan sekadar dlm kuliah maka, kutiplah ilmu dimana sahaja kita berada dan apa jua posisi kita " . Tambahnya lagi ," semoga generasi seterusnya bersedia dalam membantu agama Allah dan diiringi dengan kefahaman Islam yang sebenar kerana masyarakat memerlukan kita.Kita singkapi sirah Nabi s.a.w sebagaimana kejayaan Isteri-isteri Nabi s.a.w yg menjadi idola kepada wanita seperti Saidatina Aisyah, Saidatina Khadijah dan sebagainya. Pada setiap zaman yang berlalu, ada tanda-tanda dan kesan-kesan berkaitan wanita. Ada wanita yang beriman & membenarkan janji-janji Allah s.w.t seperti Asiah, isteri Firaun dan tukang sikat rambut anak Firaun iaitu Mashitah. Demikian juga Balqis si pemilik akal yg benar, Sumayyah isteri kpd Yasir yang menjadi wanita pertama syahid dalam Islam dengan hartanya (kesejahteraan ke atas mereka).


Jangan disangka tangan yang lembut menghayun buaian tidak mampu menggongcangkan dunia,,, TAKBIR!!! 

Zanjabiila Ahmed,
Pengerusi SIGMA, GAMIS cawangan Kelantan.

Friday 7 September 2012

Pesanan buat petugas Dakwah Kampus


Keringat yang mengalir dalam melaksanakan dakwah amat besar di sisi Allah taala. Bagi daei kampus yang bersengkang mata menjalankan amanah dakwah di kampus, cukuplah hadis ini sebagai motivasi buat kalian.


"Dua mata yang diharamkan dari api neraka ialah mata yang menangis kerana takut kepada Allah , dan mata yang menjaga serta mengawasi Islam dan umatnya dari (gangguan) kaum kafir." (Hadis Riwayat Bukhari)

Sejurus mendapat perkhabaran tentang pengkhianatan yang dilakukan terhadap beberapa persatuan mahasiswa islam kampus di Malaysia, hati saya terdetik inilah menjadi sunnah dalam perjuangan, golongan yang membawa dakwah akan sentiasa ditentang. Ada yang kecewa, ada yang luka dan ada yang merana. Menjadi satu keistimewaan buat golongan pemuda yang berada dalam medan dakwah ialah jiwa yang kental. 

dan kami kisahkan kepada kamu (penceritaan al-kahfi) dengan kebenaran, sesungguhnya mereka itu golongan muda (fityah) yang beriman kepada Tuhan mereka dan kami gandakan kepada mereka itu dengan Hidayah…

Meneliti sirah perjuangan Islam dari zaman berzaman, kelibat kepemudaan sentiasa mengiringi siri meletakkan kebenaran berada di kemuncaknya. Tegas dengan prinsip perjuangan telah menempatkan setiap insan yang membawa panji Islam diancam halangan dan dugaan, lantas Allah sahaja yang menjadi pelindung mereka. Begitulah sifat kepemudaan yang dipaparkan dalam sejarah kegemilangan Islam. Gerakan mereka sentiasa segar mendokong kepimpinan Islam sepertimana Usamah bin Zaid, Sollahudin Al-Ayyubi, Muhammad Al-Fateh, Nuruddin Az-Zinki dan sebagainya. 

Selepas semua bertungkus-lumus untuk menanam benih cintakan Islam kepada pelajar baru melalui minggu orientasi, kini para daei kampus akan menempuh medan tempur yang lebih dahsyat iaitu Pilihanraya Kampus yang akan berlangsung tidak lama lagi. 

Justeru, saya titipkan beberapa pesanan buat daei di kampus, semoga dengan pesanan ini dapat mengubat jiwa dan memberi semangat kepada kalian. Yang lebih utama supaya gerakan dakwah yang kita bawa benar-benar berjaya.

Memaknakan Sebuah Gerakan Mahasiswa Islam 

Kita boleh bersetuju bahawa situasi di Malaysia sangat berbeza di negara yang disebutkan di atas tadi. Namun, soal mabadi’ (prinsip) yang ingin diserlahkan bukan bersifat anjal, ia sentiasa kukuh berdiri dengan matlamat menzahirkan kebenaran Agama itu mengatasi segala-galanya, walaupun dibenci dan dicerca golongan penentang. Soalnya, bagaimana sebuah gerakan mahasiswa Islam mampu bernafas di celah-celah komuniti yang pelbagai khususnya di Malaysia ini?

Gerakan Inklusif Bernafas Panjang

Walaupun kelompok yang membina gerakan ini ialah golongan muda khasnya mahasiswa/i, namun realiti yang perlu difahami ialah kita masih bersama dengan variasi lapisan masyarakat. Maka, identiti gerakan mahasiswa Islam seharusnya dikenali oleh masyarakat, bukan kita hanya berpencak di pentas kemahasiswaan tanpa melihat kepada isu setempat yang berlaku. 

Gerakan mahasiswa perlu sentiasa cakna sehingga masyarakat mampu mengiktiraf gerakan mahasiswa sebagai sebuah gerakan yang hidup di tengah masyarakat. Kelemahan yang berlaku hari ini apabila masyarakat kurang merasai gerakan mahasiswa kerana kita dilihat ekslusif dalam membicarakan isu-isu tertentu. 

Gerakan Keilmuan 

Teras kepada Islam ialah Ilmu. Wahyu pertama menjadi simbolik ketamadunan Islam itu meletakkan asas ilmu sebagai necara timbangan, mengukur di antara sebuah kegemilangan dan kemunduran. Maka, bagi mempersadakan sebuah gerakan, tidak dapat tidak perlu ditekankan soal penguasaan ilmu ini. Harus difahami, bahawa gerakan keilmuan merupakan sebahagian daripada jihad fisabilillah. Dengan sebab itu Allah tatkala melakarkan ayat-ayat jihad di dalam surah  at-taubah ayat 122, terdapat penekanan khusus kepada satu golongan (thaifah) untuk mencari dan mendalami ilmu agama.

Dr. Yusuf Al-Qaradhawi telah mengisyaratkkan akan kepentingan perkara ini di dalam kitabnya ‘Al-Hal Al-Islami Faridhatun wa Dharuratun’. Malah, terma ‘mahasiswa’ itu sendiri sudah mengangkat nilai keilmuan yang harus dikuasai mengikut posisi masing-masing. Sebagai contoh, negara sangat memerlukan kepada tenaga pakar dalam bidang ekonomi untuk menganalisis rangka ekonomi yang stabil serta pragmatik, penilaian terhadap sistem politik yang demokratik, saintis yang mampu menjalankan inovasi yang menjadi solusi kepada isu alam sekitar. Maka siapakah yang lebih layak mengisi ruang ini melainkan sebuah gerakan mahasiswa yang sedar serta berdaya ilmu untuk memenuhi tuntutan tersebut. Benarlah kalam Saidina Ali R.A “Kebenaran tidak akan diketahui hanya dengan segolongan lelaki, ketahuilah sesuatu kebenaran itu sepertimana yang diketahui oleh ahlinya”.

Gerakan Menerang, Bukan Menyerang

Dunia dirasakan makin sempit tatkala seluruh maklumat hanya boleh didapati di depan mata skrin komputer. Inilah zaman maklumat. Setiap perkara yang dibicarakan perlu dialas dengan maklumat, fakta dan sebagainya agar maklumat tersebut autentik dan bukan hanya sekadar persepsi kosong. Maka, seharusnya dalam mempersadakan misi gerakan, angle seperti inilah yang seharusnya dikuasai dan dimanfaatkan oleh sesebuah gerakan. 

Kita sedia maklum, sudah terlalu banyak maklumat diseleweng hingga menimbulkan kekusutan dalam pemikiran masyarakat. Maka, sebuah gerakan mahasiswa perlu tampil sebagai ejen penerang, bukan hanya sekadar menyerang mana-mana organisasi khususnya yang berkepentingan politik. Anjurkan debat, hidupkan dialog, suburkan wacana. Namun harus ditekankan, bukan sahaja kita mengurus program bertemakan Islam. Tariq Ramadhan pernah menyentuh perkara ini dalam ucapannya, agar kita menghidupkan wacana dan dialong berkenaan isu-isu global, kemanusiaan, pemanasan alam sekitar dan menyentuh juga isu lokal yang dekat dengan hati masyarakat.

Gerakan Hanya Alat 

Di akhir kalam ini, ingin saya ingatkan bahawa sesungguhnya kita hanyalah alat untuk Islam terus berkembang. Jika tiada kita, Allah boleh menggantikan kelemahan kita ini dengan sesuatu yang lebih baik lagi. Maka, sebagai sebuah gerakan mahasiswa Islam, kita perlu terus memantapkan orientasi gerakan kita agar Allah sentiasa memelihara kita dalam perjuangan ini dan menjadikan gerakan ini sebagai ‘alat yang terbaik’ untuk memenangkan Islam khususnya di Malaysia. 
Gamis, Inspirasi Anak Muda!

Akram Ikrami bin Taib Azamudden
Presiden GAMIS