Showing posts with label isu semasa. Show all posts
Showing posts with label isu semasa. Show all posts

Thursday, 20 September 2012

Isu penghinaan Nabi , dari sisi Mahasiswa


Mencabar sentiviti agama akan mengundang polemik. Isu menghina agama Islam khususnya Nabi Muhammad SAW bukanlah perkara baharu. Isu ini telah lama berlaku. Ia muncul dan diakhiri dengan bantahan.

Begitu cantik arahan Allah yang melarang umat Islam menghina agama lain, hikmahnya supaya orang bukan Islam tidak menghina agama Islam. Seperti firman Allah:


“ Dan janganlah kamu memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, karena mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan. Demikianlah Kami jadikan setiap umat menganggap baik pekerjaan mereka. Kemudian kepada Tuhan merekalah kembali mereka, lalu Dia memberitakan kepada mereka apa yang dahulu mereka kerjakan” (Al-An'am: 108)

Perbuatan menghina agama lain adalah tindakan biadap dan tidak bertamadun. Walaupun barat gah dengan peradaban mereka, hakikatnya mereka tidak mahu akur dengan kemuliaan Nabi Muhammad SAW. Sedangkan, seorang tokoh barat Michael H. Hart secara telusnya meletakkan Nabi Muhammad SAW pada kedudukan pertama sebagai manusia paling berpengaruh di dalam buku beliau The 100: A Ranking pf the Most Influential Person in History.

Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS) selaku gerakan mahasiswa Islam di Malaysia memandang isu ini dalam pelbagai sudut:

1-  Isu ini muncul kerana salah faham  golongan barat terhadap peribadi sebenar Nabi Muhammad SAW

2- Isu ini ditimbul sebagai provokasi dari barat supaya umat islam bertindak luar kawalan, seterusnya akan mencemarkan nama baik Islam, seperti contoh membunuh warga barat, membakar bangunan kedutaan dn sebagainya.

3- Isu ini juga mampu menyatukan hubungan antara dua pihak yang bertentangan dari sudut fahaman agama mahupun ideologi politik kerana mempertahankan agama lain dari dihina adalah isu sejagat.





Perkembangan yang sangat menarik di Malysia apabila dua parti terbesar iaitu PAS dan UMNO mungkin akan bersama dalam satu demonstrasi bantahan terhadap filem kontroversi yang menghina nabi Muhammad iaitu Innocence of Muslims pada 21 September 2012.




Pihak Gamis mencadangkan penyelesaian:

1- Selain bantahan, sewajarnya umat Islam memberi kesedaran dan penjelasan sebenar peribadi nabi Muhammad dalam bentuk filem dengan pelbagai versi bahasa. Pihak parti politik seharusnya menggunakan bakat lakonan artis-artis yang sudah terlibat dengan parti mereka. Bagi PAS dan UMNO ia bukan perkara mustahil kerana PAS mempunyai Hairie Othman, Abby Abadi, Adam Hamid dan lain-lain. Manakala pihak UMNO pula Rozaidi Abdul Jamil (Zed Zaidi), Aflin Shauki Aksan dan lain-lain.

2- Golongan cerdik pandai dari kalangan ahli akademik, NGO, ahli politik mahupun mahasiswa perlu menggerakkan dialog peradaban antara agama. Dialog ini sangat penting bagi merungkai salah faham antara agama di samping itu, ia mampu mengeratkan lagi hubungan antara agama.

GAMIS secara konsisten membantah segala bentuk penghinaan yang dilakukan terhadap mana-mana agama. Dalam masa yang sama pihak GAMIS menyeru kepada umat Islam agar bertindak dengan penuh adab dan akhlak islam dalam menyatakan bantahan penghinaan terhadap nabi Muhammad SAW.

Friday, 7 September 2012

Pesanan buat petugas Dakwah Kampus


Keringat yang mengalir dalam melaksanakan dakwah amat besar di sisi Allah taala. Bagi daei kampus yang bersengkang mata menjalankan amanah dakwah di kampus, cukuplah hadis ini sebagai motivasi buat kalian.


"Dua mata yang diharamkan dari api neraka ialah mata yang menangis kerana takut kepada Allah , dan mata yang menjaga serta mengawasi Islam dan umatnya dari (gangguan) kaum kafir." (Hadis Riwayat Bukhari)

Sejurus mendapat perkhabaran tentang pengkhianatan yang dilakukan terhadap beberapa persatuan mahasiswa islam kampus di Malaysia, hati saya terdetik inilah menjadi sunnah dalam perjuangan, golongan yang membawa dakwah akan sentiasa ditentang. Ada yang kecewa, ada yang luka dan ada yang merana. Menjadi satu keistimewaan buat golongan pemuda yang berada dalam medan dakwah ialah jiwa yang kental. 

dan kami kisahkan kepada kamu (penceritaan al-kahfi) dengan kebenaran, sesungguhnya mereka itu golongan muda (fityah) yang beriman kepada Tuhan mereka dan kami gandakan kepada mereka itu dengan Hidayah…

Meneliti sirah perjuangan Islam dari zaman berzaman, kelibat kepemudaan sentiasa mengiringi siri meletakkan kebenaran berada di kemuncaknya. Tegas dengan prinsip perjuangan telah menempatkan setiap insan yang membawa panji Islam diancam halangan dan dugaan, lantas Allah sahaja yang menjadi pelindung mereka. Begitulah sifat kepemudaan yang dipaparkan dalam sejarah kegemilangan Islam. Gerakan mereka sentiasa segar mendokong kepimpinan Islam sepertimana Usamah bin Zaid, Sollahudin Al-Ayyubi, Muhammad Al-Fateh, Nuruddin Az-Zinki dan sebagainya. 

Selepas semua bertungkus-lumus untuk menanam benih cintakan Islam kepada pelajar baru melalui minggu orientasi, kini para daei kampus akan menempuh medan tempur yang lebih dahsyat iaitu Pilihanraya Kampus yang akan berlangsung tidak lama lagi. 

Justeru, saya titipkan beberapa pesanan buat daei di kampus, semoga dengan pesanan ini dapat mengubat jiwa dan memberi semangat kepada kalian. Yang lebih utama supaya gerakan dakwah yang kita bawa benar-benar berjaya.

Memaknakan Sebuah Gerakan Mahasiswa Islam 

Kita boleh bersetuju bahawa situasi di Malaysia sangat berbeza di negara yang disebutkan di atas tadi. Namun, soal mabadi’ (prinsip) yang ingin diserlahkan bukan bersifat anjal, ia sentiasa kukuh berdiri dengan matlamat menzahirkan kebenaran Agama itu mengatasi segala-galanya, walaupun dibenci dan dicerca golongan penentang. Soalnya, bagaimana sebuah gerakan mahasiswa Islam mampu bernafas di celah-celah komuniti yang pelbagai khususnya di Malaysia ini?

Gerakan Inklusif Bernafas Panjang

Walaupun kelompok yang membina gerakan ini ialah golongan muda khasnya mahasiswa/i, namun realiti yang perlu difahami ialah kita masih bersama dengan variasi lapisan masyarakat. Maka, identiti gerakan mahasiswa Islam seharusnya dikenali oleh masyarakat, bukan kita hanya berpencak di pentas kemahasiswaan tanpa melihat kepada isu setempat yang berlaku. 

Gerakan mahasiswa perlu sentiasa cakna sehingga masyarakat mampu mengiktiraf gerakan mahasiswa sebagai sebuah gerakan yang hidup di tengah masyarakat. Kelemahan yang berlaku hari ini apabila masyarakat kurang merasai gerakan mahasiswa kerana kita dilihat ekslusif dalam membicarakan isu-isu tertentu. 

Gerakan Keilmuan 

Teras kepada Islam ialah Ilmu. Wahyu pertama menjadi simbolik ketamadunan Islam itu meletakkan asas ilmu sebagai necara timbangan, mengukur di antara sebuah kegemilangan dan kemunduran. Maka, bagi mempersadakan sebuah gerakan, tidak dapat tidak perlu ditekankan soal penguasaan ilmu ini. Harus difahami, bahawa gerakan keilmuan merupakan sebahagian daripada jihad fisabilillah. Dengan sebab itu Allah tatkala melakarkan ayat-ayat jihad di dalam surah  at-taubah ayat 122, terdapat penekanan khusus kepada satu golongan (thaifah) untuk mencari dan mendalami ilmu agama.

Dr. Yusuf Al-Qaradhawi telah mengisyaratkkan akan kepentingan perkara ini di dalam kitabnya ‘Al-Hal Al-Islami Faridhatun wa Dharuratun’. Malah, terma ‘mahasiswa’ itu sendiri sudah mengangkat nilai keilmuan yang harus dikuasai mengikut posisi masing-masing. Sebagai contoh, negara sangat memerlukan kepada tenaga pakar dalam bidang ekonomi untuk menganalisis rangka ekonomi yang stabil serta pragmatik, penilaian terhadap sistem politik yang demokratik, saintis yang mampu menjalankan inovasi yang menjadi solusi kepada isu alam sekitar. Maka siapakah yang lebih layak mengisi ruang ini melainkan sebuah gerakan mahasiswa yang sedar serta berdaya ilmu untuk memenuhi tuntutan tersebut. Benarlah kalam Saidina Ali R.A “Kebenaran tidak akan diketahui hanya dengan segolongan lelaki, ketahuilah sesuatu kebenaran itu sepertimana yang diketahui oleh ahlinya”.

Gerakan Menerang, Bukan Menyerang

Dunia dirasakan makin sempit tatkala seluruh maklumat hanya boleh didapati di depan mata skrin komputer. Inilah zaman maklumat. Setiap perkara yang dibicarakan perlu dialas dengan maklumat, fakta dan sebagainya agar maklumat tersebut autentik dan bukan hanya sekadar persepsi kosong. Maka, seharusnya dalam mempersadakan misi gerakan, angle seperti inilah yang seharusnya dikuasai dan dimanfaatkan oleh sesebuah gerakan. 

Kita sedia maklum, sudah terlalu banyak maklumat diseleweng hingga menimbulkan kekusutan dalam pemikiran masyarakat. Maka, sebuah gerakan mahasiswa perlu tampil sebagai ejen penerang, bukan hanya sekadar menyerang mana-mana organisasi khususnya yang berkepentingan politik. Anjurkan debat, hidupkan dialog, suburkan wacana. Namun harus ditekankan, bukan sahaja kita mengurus program bertemakan Islam. Tariq Ramadhan pernah menyentuh perkara ini dalam ucapannya, agar kita menghidupkan wacana dan dialong berkenaan isu-isu global, kemanusiaan, pemanasan alam sekitar dan menyentuh juga isu lokal yang dekat dengan hati masyarakat.

Gerakan Hanya Alat 

Di akhir kalam ini, ingin saya ingatkan bahawa sesungguhnya kita hanyalah alat untuk Islam terus berkembang. Jika tiada kita, Allah boleh menggantikan kelemahan kita ini dengan sesuatu yang lebih baik lagi. Maka, sebagai sebuah gerakan mahasiswa Islam, kita perlu terus memantapkan orientasi gerakan kita agar Allah sentiasa memelihara kita dalam perjuangan ini dan menjadikan gerakan ini sebagai ‘alat yang terbaik’ untuk memenangkan Islam khususnya di Malaysia. 
Gamis, Inspirasi Anak Muda!

Akram Ikrami bin Taib Azamudden
Presiden GAMIS

Thursday, 9 August 2012

Rohingya terus Berdarah !


Umat Islam terus diuji dengan peristiwa berdarah . Jika isu Palestine tentang mempertahankan Masjidil Aqsa , Indonesia dengan isu 2 juta orang Islam murtad setiap tahun , kini isu Rohingya menjadi taruhan iman umat Islam .Isunya , proses 'pembersihan' etnik yang sangat dasyat . Pembakaran rumah dan perkampungan orang Islam di bandar Kyauktaw , di kawasan hulu Sungai Kaladan menjadi kebanggaan oleh perusuh Rakhine . Tidak cukup dengan itu , umat Islam Rohingya tidak kira tua , muda , lelaki , wanita dan kanak kanak dibiarkan diseksa terlebih dahulu sebelum dibunuh . Episod-episod kekejaman dan kerakusan  dilalui sehingga lebih 2,000 umat Islam Rohingya telah terkorban .

Oleh itu, GAMIS Kelantan menyeru semua umat Islam khususnya mahasiswauntuk bersama memperjuangkan nasib umat Islam di seluruh dunia yang ditindas.Tambahan pula , pada bulan Ramadhan 1433H ini , usaha ini perlu dipergiatkan sesuai dngan tema bulan perjuangan. 

Di samping itu , golongan mahasiswa perlu menjadi agen menyebaran maklumat , baik maklumat berbentuk digital , cetak ataupun lisan.

Justeru itu , GAMIS Kelantan amat menyokong bersolidariti dengan usaha murni GAMIS Pusat . 






Berikut adalah badan yang membuat kutipan

MAPIM 
Akaun Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (MAPIM)
BIMB bernombor 12047010037282


Tuesday, 7 August 2012

Flash Mob For Rohingya


 



Markaz Siswazah Kelantan (MSK) dengan kerjasama GAMIS Kelantan akan menganjurkan flash mob untuk menzahirkan keprihatinan Mahasiswa Kelantan terhadap isu Rohingya. Isu pembunuhan beramai-ramai etnik Rohingya yang beragama Islam di Myamar.

Flash Mob for Rohingya bertujuan mengumpulkan mahasiswa-mahasiswa untuk bersama-sama menzahirkan bantahannya terhadap sebarang bentuk keganasan ke atas penduduk Islam Rohingya serta menyedarkan masyarakat terhadap isu ini sebagai saudara seIslam. 

Kami mahasiswa menuntut supaya pihak berwajib memain peranan untuk membantu umat Islam Rohingya khususnya kerajaan Malaysia yang menerajui OIC. Mana perginya PBB?? Mana fungsi OIC?? Mana peranan Malaysia?? Mana tindakan rakyat Malaysia?? Mana suara kita sebagai ummat Islam????Ayuh kita bersama-sama ekpresikan kecintaan kepada saudara kita. JOM!

Umat Islam etnik Rohingya di Myanmar perlu dibela dan umat Islam seluruh dunia. Jangan berpeluk tubuh sahaja apabila masyarakat Islam minoriti ini bukan sahaja dipinggirkan malahan disembelih hidup-hidup, dibakar dan wanitanya dirogol 


Timbalan Pengerusi GAMIS KELANTAN
RIDUAN B CHE MUSA\\\\

Wednesday, 11 April 2012

Batal PTPTN: Menifesto Awal PRU 13 Untuk Mahasiswa


Isu penghapusan skim pembiayaan pendidikan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bukanlah isu yang dipolitikkan, tetapi ia merupakan isu yang dibawa untuk menjada hak dan kebajikan mahasiswa.

Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (Gamis) menyokong iltizam Pakatan Rakyat untuk membatalkan PTPTN sekiranya Pakatan berjaya membentuk kerajaan pusat selepas pilihanraya umum akan datang.

Iltizam PR untuk membatalkan pinjaman PTPTN dan menyediakan pendidikan percuma dari sekolah rendah sehingga univerisiti boleh dilakukan sekiranya kerajaan berhemat dalam setiap perbelanjaan dan menghapuskan budaya rasuah dan kronisme yang merugikan negara.

Kenyataan menteri yang menyatakan bahawa idea tersebut adalah tidak relevan buat masa ini menunjukkan kedangkalan bagi seorang yang ‘berkuasa’ terhadap sistem pengajian tinggi di Malaysia

Sewajarnya pihak kerajaan mengambil langkah proaktif dengan mengadakan sesi perbincangn dengan PR berhubung dengan kaedah mengurangkan bebanan pembiayaan pengajian pelajar, bukannya dengan mengkritik idea yang dibawa oleh PR.

Isu ini sejajar dengan agenda yang dibawa dalam Deklarasi Inspirasi Anak Muda Malaysia (Inspirasi) yang dilancarkan pada 25 Mac 2012 iaitu dalam membela hak dan kebajikan mahasiswa dalam pembiayaan pengajian.

Di samping itu, Inspirasi membawa 6 agenda utama dalam pembentukan masa depan negara Malaysia yang lebih cemerlang iaitu Rejuvinasi Sistem Pendidikan, Keadilan Undang-undang, Ekonomi untuk rakyat, Jaminan Kerjaya, Integriti Politik dan Keharmonian Sosial.

Inspirasi yang didokong oleh Gamis bersama 13 front mahasiswa di seluruh negara juga akan bersama dalam Himpunan mansuh PTPTN pada 14 April ini.

Eikhwan Ali,
Naib Presiden 1 GAMIS
Pengerusi INSPIRASI


sumber